Ramai pasangan belia yang sedang merancang untuk berkahwin mungkin pernah terfikir, “Kalau ambil pinjaman peribadi untuk majlis kahwin, boleh tak?” Niatnya memang baik – mahu majlis yang meriah sebab nak sedekah jamu orang ramai makan, mungkin juga ada yang dipaksa untuk memenuhi impian ibubapa dengan membuat majlis perkahwinan yang lebih gah. Tetapi, adakah idea ini berbaloi? Realitinya, mengambil pinjaman peribadi untuk majlis perkahwinan datang dengan risiko yang mungkin membebankan hidup anda berdua untuk jangka masa panjang.
Jom kita teliti sebab-sebab kenapa pinjaman peribadi untuk kahwin patut dipertimbangkan semula.
1. Tanggung Hutang Seumur Hidup Lepas Kahwin
Data terbaru menunjukkan bahawa pasangan muda di Malaysia kini lebih banyak terjerat dalam hutang sejak usia muda. Kajian oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mendapati lebih 47% pasangan yang membuat pinjaman peribadi untuk tujuan majlis perkahwinan menghadapi kesukaran untuk membayar balik hutang tersebut. Ini termasuk hutang kad kredit, pinjaman kereta, dan kini pinjaman peribadi. Dengan komitmen hutang sedia ada, meminjam lagi untuk perkahwinan hanya meningkatkan beban kewangan.
Bayangkan situasi ini: selepas kahwin, anda akan ada komitmen perbelanjaan harian, mungkin juga merancang untuk membeli rumah dan memulakan keluarga. Hutang pinjaman peribadi menambah beban kewangan yang tidak perlu, menjejaskan kualiti hidup anda dan pasangan. Iyalah, hidup anda hanya akan dihantui oleh due hutang-hutang anda. Nak menikmati kehidupan berkahwin tu pun tiada masa, sebab yang ada perlu fikirkan adalah cari duit-bayar hutang bertahun lamanya. Bila tak mampu nak bayar, nama akan disenaraihitamkan oleh bank. Macam mana nak rancang beli rumah bila rekod kewangan tak cantik?
2. Kadar Faedah Pinjaman Peribadi yang Tinggi
Kadar faedah untuk pinjaman peribadi boleh mencecah antara 8% hingga 15% setahun bergantung kepada kelayakan kewangan dan tempoh bayaran balik. Bayangkan jika anda meminjam RM20,000 dengan kadar faedah 10% – akhirnya, anda mungkin membayar lebih daripada RM25,000 selepas beberapa tahun! Anak dah 4 orang pun hutang belum habis bayar. Nasib baik bank tak sita isteri dan anak-anak kalau skip bayar personal loan.
Satu kajian lain menunjukkan bahawa pasangan yang mempunyai pinjaman peribadi sering kali terpaksa menangguhkan perancangan untuk pembelian aset seperti rumah kerana terikat dengan komitmen bulanan yang tinggi. Rasa bimbang nak rancang masa depan sebab hutang sedia ada pun belum selesai lagi, sedangkan tetamu yang datang majlis perkahwinan yang gah hari itu dah lupa dah lauk apa yang mereka makan. Kita? masih lagi menanggung hutang.
3. Tekanan Emosi dalam Perkahwinan Awal
Kehidupan selepas berkahwin memerlukan banyak penyesuaian. Bukan sahaja penyesuaian sikap, gaya hidup, tapi awal perkahwinan memerlukan banyak duit. Deposit rumah sewa, barang-barang asas rumah. Tapi nak beli peti ais pun tak mampu sebab nak kena bayar hutang pinjaman peribadi setiap bulan. Sedangkan kalau tak ambil loan, duit yang ada tu boleh digunakan untuk macam-macam perkara. Disebabkan kena bayar loan, semua benda perlu dicatu, atau keduanya perlu buat kerja lebih sebab nak cover hutang. Beban kewangan yang berlebihan boleh mencetuskan tekanan emosi dalam hubungan. AKPK melaporkan bahawa hampir 30% pasangan yang meminjam untuk perkahwinan akhirnya menghadapi isu kewangan serius dalam perkahwinan, termasuk pergaduhan mengenai hutang dan cara menguruskan perbelanjaan bulanan.
Tekanan ini boleh memudaratkan ikatan perkahwinan. Perkahwinan sepatutnya bermula dengan tenang dan bahagia, bukan dengan beban hutang yang terus menghantui.
Alternatif Lain yang Lebih Bijak
Ada cara lain untuk memastikan hari bahagia anda tetap meriah tanpa perlu membuat pinjaman peribadi. Berikut adalah beberapa alternatif yang lebih bijak:
- Kumpul Simpanan Bersama: Pasangan boleh mula menyimpan sedikit demi sedikit setiap bulan untuk perbelanjaan perkahwinan. Mengumpul simpanan bersama juga menguatkan komitmen dan perancangan jangka panjang. Sekarang juga terdapat banyak cara untuk buat duit sampingan contohnya, affliate, livehost, content creator, offer servis graphic design, digital marketing dan sebagainya.
- Majlis Perkahwinan Sederhana: Tidak salah untuk mengadakan majlis yang sederhana tetapi bermakna. Anda kena tegas nyatakan bajet anda dengan ahli keluarga terutamanya jika ibubapa anda mendesak anda untuk buat majlis besar-besaran. Bukanlah kami menggalakkan anda jadi derhaka, tapi kadangkala anda perlu utamakan diri sendiri juga sebab kesannya nanti perlu ditanggung sendiri. Lainlah kalau boleh kongsi bayar hutang dengan ibubapa yang suruh buat majlis besar itu tadi. Mestilah tak, kan? Dengan bajet yang terancang, anda boleh mengadakan majlis yang penuh dengan memori indah tanpa mengorbankan masa depan anda.
- Kurangkan perbelanjaan: Nak keluar makan, tengok wayang, berbelanja sakan dengan pasangan? Tangguhkan. Keluar bila ada benda penting sahaja. Anda dah berniat nak berkahwin, jadi kurangkan perbelanjaan seperti ini. Sekali keluar, paling kurang pun RM100-RM300 habis sekelip mata. Itu baru sekali. Kalau dalam sebulan keluar 10 kali? Sedangkan kalau jumlah ini disimpan, boleh bantu cepatkan lagi proses anda nak simpan duit. Tak apa, sabar sekejap. Fokus nak halalkan, nanti dah hidup bersama, keluarlah 3 hari 3 malam tak balik rumah pun tak apa. Sukiya date, pasar seni date can wait. Simpan duit dulu.
Kesimpulan: Mulakan Kehidupan Perkahwinan dengan Langkah Kewangan yang Bijak
Pinjaman peribadi untuk perkahwinan bukanlah idea yang terbaik, terutamanya untuk pasangan muda yang baru memulakan hidup. Dengan kos hidup yang semakin tinggi, lebih baik untuk memulakan perkahwinan dengan asas kewangan yang kukuh. Ingat, perkahwinan bukan tentang satu hari sahaja; ia adalah perjalanan jangka panjang.
Pilihlah cara yang lebih bijak – mulakan hidup bersama tanpa beban hutang yang tidak perlu. Lakukan perancangan kewangan yang matang dan kukuhkan ikatan perkahwinan tanpa gangguan kewangan. Lagipun, apa yang penting bukanlah jumlah wang yang dibelanjakan, tetapi ikatan kasih sayang dan komitmen yang dijalin bersama.